Sekarang ini politik bukan gelanggang perjuangan menegakkan keyakinan
Ia telah dijadikan gelanggang tempat mencari makan
Rakyat telah dialatkan atau diperjudikan
Ia sudah terlalu kotor bagaikan tempat pelacuran
Kerana tempat cari makan ia telah jadi politik wang
Siapa yang berjaya di dalam politik seolah-olah mendapat satu kawasan
ladang yang penuh dengan tanaman
Di ladang itu dia boleh mendapat kekayaan
Atau siapa yang berjaya di dalam politik seolah-olah mendapat factory besar
tempat mengeluarkan barang
Di situ dia menjadi jutawan tanpa perniagaan
Berebut-rebutlah mereka bergelanggang di dalam politik melalui parti politik
Apa sudah jadi bukan bertarung dengan parti lawan, bertarung sesama sendiri
Bertarung sesama sendiri di dalam sebuah parti untuk menguasai parti
Kerana di situ ada kekayaan tanpa perniagaan dan boleh jadi jutawan
Tikam kawan sendiri, khianat-mengkhianati, jatuh-menjatuhkan
di sesetengah negara berbunuh-bunuhan
Daripada gelanggang politik yang kotor itulah lahir para pemimpin menjaga negara dan rakyat dan agama
Maka lahirlah penyangak-penyangak negara dan bangsa yang bertauliah
Lahirlah lanun-lanun terhormat, pencuri-pencuri berlesen mengaut wang rakyat
dan negara
Rakyat mengharap setiap musim agar nasib mereka dibela oleh pemimpin mereka
Yang senang hanya segelintir, yang susah dan menderita itulah yang ramai
Tunggu lagi setiap musim pilihanraya
Agar lahir pemimpin-pemimpin pembela rakyat dan cintakan negara
Hasilnya sama juga
Begitulah rakyat di kebanyakan negara menunggu pembela
dari musim ke musim pilihanraya
Jawapannya sama juga, apa yang berlaku sebelumnya, berlaku perkara yang sama
Begitulah nasib rakyat di negara demokrasi
Hanya mengharap dan mengharap, harapan tidak kunjung tiba
Begitulah terjadi di setiap pilihanraya nasib rakyat tetap tidak terbela
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi